Yussuf Chik Menang Tanpa Bertanding Di DUN Simunjan
SIMUNJAN: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Yussuf Chik diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.25 Simunjan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Mesra Simunjan pada Sabtu.
Kemenangan itu mencatat sejarah tersendiri buat DUN Simunjan apabila buat julung kalinya kerusi berkenaan dimenangi tanpa bertanding.
Pengisytiharan rasmi dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Sanuyah Mohamad pada jam 10.10 pagi selepas tiada calon lain mengemukakan borang pencalonan sehingga tempoh penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi.
Yussuf, 45, yang merupakan muka baharu dalam PRN kali ini, sekali gus memastikan GPS mengekalkan kerusi DUN N.25 Simunjan.
Terdahulu, beliau tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.43 pagi dengan diiringi Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, bersama pencadang, Bojeng Ali dan penyokong, Nyanoh Jepoon.
Beliau bersama rombongan memulakan perarakan dari Dewan Muhibbah Kampung Kelka sebelum berjalan kaki menuju ke pusat penamaan calon.
Pengisytiharan kemenangan itu disambut oleh para penyokong yang hadir di sekitar pusat penamaan calon.
Turut hadir, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris.
DUN N.25 Simunjan mempunyai seramai 12,802 pengundi berdaftar, terdiri daripada 6,365 pengundi lelaki (49.72 peratus) dan 6,437 pengundi wanita (50.28 peratus).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember 2026 sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak Ke-13. –EDISI UKAS