SIBU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.51 Bukit Assek bakal menyaksikan persaingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 apabila empat calon daripada parti politik berbeza disahkan layak bertanding.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Henry Jalin Watt, mengesahkan senarai calon berkenaan selepas proses penamaan dan pemeriksaan dokumen pencalonan selesai di Dewan Persidangan Perpustakaan Awam, Majlis Perbandaran Sibu, Jalan Keranji, pada Sabtu.
Mereka yang bakal merebut kerusi tersebut ialah Thomas Kiew Heng (Bebas), Chiew Sung Ngie daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), Yii Ming Ching daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) serta Chieng Jin Ek yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Sementara itu, suasana di pusat penamaan calon berlangsung dengan aman dan teratur mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Kehadiran kira-kira 330 orang penyokong turut merancakkan proses berkenaan apabila mereka berhimpun di hadapan Perpustakaan Awam, Majlis Perbandaran Sibu seawal jam 8 pagi.
Daripada jumlah itu, seramai 200 orang merupakan penyokong GPS, manakala DAP dan calon Bebas masing-masing menerima kehadiran 50 penyokong, sementara PBK diwakili 30 penyokong.
Keseluruhan proses penamaan calon selesai sekitar jam 10 pagi tanpa sebarang insiden yang tidak diingini dilaporkan.-EDISI UKAS