PRN Sarawak: Balingian Saksikan Pertandingan Dua Penjuru
MUKAH: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Balingian menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Peleadzman Ahip mengesahkan dua calon layak bertanding bagi kerusi berkenaan selepas proses penamaan calon dan semakan dokumen selesai dilaksanakan di Bilik Kuliah, Dewan Suarah Mesra Mukah, pada Sabtu.
Calon GPS, Dr Abdul Yakub Arbi akan berdepan Timah Unchat daripada PBDS dalam perebutan kerusi DUN berkenaan.
Pengesahan pencalonan itu menyaksikan Balingian bakal menjadi medan persaingan antara kedua-dua calon pada PRN Sarawak Ke-13.
Proses penamaan calon berlangsung dalam keadaan aman, lancar dan terkawal, dengan kawalan keselamatan oleh pihak polis berjalan baik sepanjang urusan berkenaan.
Walaupun keadaan cuaca hujan, penyokong kedua-dua parti tetap hadir dan berarak bagi menyemarakkan suasana hari penamaan calon, tanpa sebarang insiden tidak diingini dilaporkan.-EDISI UKAS