Pertembungan Dua Penjuru di DUN N.61 Pelagus, Cerisologo Sabut dan Larry Sng Sah Bertanding
KAPIT: Persaingan dua penjuru bakal mewarnai perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N61 Pelagus apabila dua calon daripada parti berbeza disahkan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Pengesahan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Cindy Ann Robert Tasser, selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Masyarakat Melayu, Kampung Muhibbah, Bleteh, Kapit, pada Sabtu.
Dua calon yang disahkan bertanding ialah Cerisologo Sabut daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Larry Sng Wei Shien daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Cerisologo, 58, dicadangkan oleh Jalin Minggu dan disokong oleh Pangkas Bala.
Manakala Larry, 47, dicadangkan oleh Nicholas Bujah dan disokong oleh Jingan Balan.
Suasana di sekitar pusat penamaan calon mula meriah seawal jam 7.30 pagi dengan kehadiran penyokong kedua-dua parti yang berhimpun bagi memberikan sokongan kepada calon masing-masing.
Cerisologo tiba kira-kira jam 8.30 pagi dengan diiringi sekitar 300 penyokong GPS, manakala Larry tiba pada jam 8.50 pagi bersama kira-kira 100 penyokong PBM.
Sepanjang proses penamaan calon berlangsung, tiada sebarang bantahan dikemukakan oleh mana-mana calon atau pihak penyokong.
Dari aspek keselamatan, keadaan di sekitar pusat penamaan calon kekal aman dan terkawal dengan penugasan anggota keselamatan bagi memastikan kelancaran keseluruhan proses.
Sementara itu, pengundian awal dijadualkan berlangsung pada 8 Disember 2026, manakala hari pengundian rasmi ditetapkan pada 12 Disember 2026 di pusat-pusat mengundi yang telah ditetapkan.-EDISI UKAS