Muka Baharu GPS, Awang Nashfarini Menang Tanpa Bertanding Kerusi DUN N.29 Beting Maro
PUSA: Calon baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Awang Nashfarini Awang Sarbini bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.29 Beting Maro melakar sejarah apabila diumumkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Kemenangan itu disahkan oleh Pengurus Pilihan Raya N.29 Beting Maro, Hamdan Katang, pada jam 10.10 pagi di Pusat Penamaan Calon, Pejabat Daerah Pusa, selepas hanya satu kertas penamaan calon diterima bagi kerusi berkenaan.
Kemenangan tanpa bertanding itu sekali gus menyaksikan Awang Nashfarini bakal menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat baharu bagi kawasan Beting Maro, menggantikan penyandang terdahulu dan membawa lembaran baharu dalam perwakilan DUN berkenaan.
Suasana di sekitar Pekan Pusa mula meriah seawal jam 7 pagi dengan kehadiran kira-kira 2,000 penyokong GPS yang berhimpun bagi memberikan sokongan kepada calon berkenaan.
Para penyokong turut menyemarakkan suasana dengan laungan slogan parti sepanjang proses penamaan calon berlangsung, sekali gus menjadikan persekitaran pusat penamaan calon lebih meriah.
Walaupun kehadiran penyokong dalam jumlah yang ramai, keseluruhan proses penamaan calon berjalan lancar, aman dan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini yang boleh menjejaskan keselamatan serta ketenteraman awam.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Dato Razaili Gapor serta Pengerusi Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) Dato Sri Rohani Abdul Karim.-EDISI UKAS