MARUDI: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.78 Mulu menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 apabila tiga calon daripada parti berbeza disahkan layak bertanding selepas proses penamaan calon selesai, pada Sabtu.
Calon Bebas, Boyce Ngau Anyi, tiba di pusat penamaan calon pada 9.01 pagi dengan pencadang Marcus Lawai Ajon dan penyokong Ubin Telajan.
Beliau diikuti calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Damien Epoi Julie, yang tiba pada 9.08 pagi dengan pencadang Willie Kajann Ngang dan penyokong Endun Lipang.
Sementara itu, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Gerawat Gala, tiba pada jam 9.03 pagi dengan pencadang Joseph Ngau Lian dan penyokong Randie Bundan.
Ketiga-tiga calon disahkan bertanding bagi merebut kerusi DUN berkenaan, sekali gus menetapkan pertandingan tiga penjuru di Mulu.
Proses penamaan calon berlangsung di Bilik Seminar Dewan Suarah Marudi dalam keadaan terkawal dan teratur, dengan petugas SPR mengendalikan urusan pencalonan serta kawalan keselamatan di lokasi. -EDISI UKAS