Dua Calon Sah Bertanding di DUN N.48 Meluan Pada PRN Sarawak Ke-13
JULAU: Seramai 2 calon disahkan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N48 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, menyaksikan pertandingan dua penjuru.
Pengesahan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Minggu Jampong, selepas proses penamaan calon selesai di Pejabat Daerah Julau Bangunan Lama, pada Sabtu.
Dua calon yang disahkan bertanding ialah Rolland Duat Jubin daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Aren Sempurai dari Parti Bebas.
Proses penamaan calon berlangsung dalam suasana tenang dan terkawal dengan kehadiran kira-kira 1,000 penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang hadir memberikan sokongan kepada calon parti berkenaan.
Aspek keselamatan turut diberi perhatian dengan kawalan ketat dilaksanakan bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar, selain mengelakkan sebarang insiden pertelingkahan atau pergaduhan antara penyokong parti bertanding.
Sementara itu, pengundian awal ditetapkan pada 8 Disember, manakala hari pengundian bagi pilihan raya berkenaan akan berlangsung pada 12 Disember.– EDISI UKAS