Pertandingan Tiga Penjuru Di DUN Kedup Pada PRN Sarawak Ke-13
SERIAN: Tiga calon disahkan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.22 Kedup pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, menyaksikan pertandingan tiga penjuru.
Pengesahan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Jannice anak Abraham selepas proses penamaan calon dan semakan dokumen pencalonan selesai di Majlis Daerah Serian pada Sabtu.
Calon yang disahkan bertanding ialah Maclaine Ben @ Martin Ben daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Vincent Amis Kuntet (PBDS) dan Stephen Morgan Sungan Kenyalang (PBK).
Proses penamaan calon berlangsung dalam suasana tenang, teratur dan lancar dengan para penyokong mematuhi arahan yang ditetapkan, selain kawalan keselamatan oleh pihak berkuasa.
Proses penyerahan borang pencalonan yang bermula pada jam 9 pagi berlangsung dengan tertib sehingga tamat tempoh penamaan calon pada jam 10 pagi tanpa sebarang insiden tidak diingini dilaporkan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember 2026 sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak Ke-13. -EDISI UKAS