Rekod 10 Tahun Jadi Sandaran Datuk Henry Pertahan Tasik Biru
BAU: Rekod perkhidmatan selama 10 tahun serta kesinambungan pembangunan di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi sandaran Datuk Henry Harry Jinep untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.2 Tasik Biru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Penyandang kerusi berkenaan berkata, rekod perkhidmatan dan komitmen berterusan turun padang menjadi antara faktor yang diyakini mampu mempengaruhi pertimbangan pengundi dalam menentukan pilihan mereka.
“Rekod GPS selama ini menunjukkan kita bekerja setiap masa, turun padang dan tidak mengira waktu.
“Kita juga berada dalam platform yang kukuh, iaitu kerajaan GPS yang inklusif. Tidak ada yang ditinggalkan, dari bandar sampailah ke desa dan hujung kampung.
“Memang kita tidak nafikan pembangunan tidak dapat dilaksanakan sekaligus kerana ada kawasan yang sukar ataupun mengambil masa untuk dibangunkan. Tetapi itu bukan alasan untuk kita tidak bekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon bagi DUN N.2 Tasik Biru di sini, pada Sabtu.
Tambah Datuk Henry, pembangunan di bawah GPS merupakan usaha berterusan yang berpandukan dasar menyeluruh serta hala tuju jelas di bawah kepimpinan Premier Sarawak.
Katanya, pengundi mempunyai ruang untuk menilai keberkesanan dasar kerajaan, termasuk dalam aspek pendidikan, peluang pekerjaan dan penyelesaian isu tanah.
Sehubungan itu, beliau berharap pengundi memberikan mandat bagi membolehkan kesinambungan pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan Tasik Biru diteruskan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Gabriel Rommy