KAPIT: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.64 Baleh menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Jabang Juntan mengesahkan dua calon layak bertanding bagi kerusi berkenaan selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Kejora, SMK Kapit No. 2, pada Sabtu.
Calon GPS, Nicholas Kudi Jantai bakal berdepan Leighton Manjah daripada PBDS dalam perebutan kerusi berkenaan.
Nicholas dicadangkan oleh Gesang Ngalang dan disokong oleh Bidok Bajok, manakala Leighton dicadangkan oleh Lelangan Dian dan disokong oleh Minor Manjah.
Nicholas tiba di pusat penamaan calon sekitar jam 8.40 pagi dengan diiringi kira-kira 300 penyokong, manakala Leighton tiba pada jam 8.50 pagi bersama tujuh penyokong.
Tiada bantahan dikemukakan sepanjang proses penamaan calon yang berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal.-EDISI UKAS