Amanah Kepada Rakyat Tidak Bergantung Keputusan PRN
KOTA SAMARAHAN: Komitmen untuk terus menyantuni rakyat dan melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat tanpa mengira keputusan pilihan raya menjadi penegasan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.17 Stakan, Datuk Hamzah Brahim.
Beliau berkata, tanggungjawab kepada rakyat tidak seharusnya terhenti selepas kempen pilihan raya atau bergantung kepada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
“Selepas pilihan raya, di situlah sebenarnya bermulanya tugas dan tanggungjawab kita.
Saya akan terus membuat kerja-kerja untuk berjumpa dan menyantuni rakyat serta mengingatkan mereka bahawa GPS, walau apa pun keputusan pilihan raya, tetap memikul amanah dan tanggungjawab kepada rakyat khususnya di kawasan N.17 Stakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon PRN Sarawak Ke-13 di Pusat Penamaan Calon SJK Chung Hua Sungai Jernang, hari ini.
Mengulas persaingan satu lawan satu menentang calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Datuk Hamzah menyifatkannya sebagai sebahagian daripada proses demokrasi yang perlu diraikan dengan semangat kesukanan, kematangan dan persaingan sihat.
Beliau berharap kempen di kawasan berkenaan berlangsung secara teratur dan mematuhi segala peraturan serta undang-undang pilihan raya yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Dalam pada itu, beliau menyeru semua pengundi, termasuk pengundi awal dan pengundi biasa pada 12 Disember, supaya keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi menentukan wakil rakyat pilihan mereka.
Mengulas kemenangan beberapa calon GPS tanpa bertanding di kerusi lain, Hamzah mengucapkan tahniah kepada rakan seperjuangan, sambil menyifatkan pertandingan di Stakan sebagai peluang kepada pengundi untuk membuat pilihan secara terbuka.-EDISI UKAS