Iskandar, Abdul Jalil Sah Bertanding Satu Lawan Satu Di Jepak
BINTULU: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Iskandar Turkee, bakal mempertahankan mandatnya dalam pertandingan satu lawan satu menentang calon Bebas, Abdul Jalil Bujang, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Pengesahan dua calon itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Awang Mohamed Nizam Awang Ali Burhan, pada jam 11.30 pagi selepas proses penamaan calon di kawasan berkenaan.
Abdul Jalil mengemukakan kertas pencalonannya pada jam 9.22 pagi, manakala Iskandar menyusul pada 9.30 pagi.
Kedua-duanya kemudian disahkan layak bertanding bagi merebut kerusi berkenaan.
Iskandar memperoleh mandat sebagai wakil rakyat Jepak menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) pada November 2023 setelah beliau memenangi pilihan raya itu dengan 9,638 undi, manakala majoriti yang diperoleh ialah 8,784 undi.
Pertandingan kali ini menyaksikan Iskandar kembali berdepan cabaran untuk mengekalkan sokongan pengundi, sementara Abdul Jalil membawa cabaran sebagai calon Bebas dalam usaha mendapatkan mandat di Jepak. -EDISI UKAS