Pembentukan Kerajaan Negeri Selepas Proses Pilihan Raya Selesai: SPR
KUCHING: Pembentukan kerajaan negeri hanya boleh dilaksanakan selepas keseluruhan proses pilihan raya selesai, meskipun majoriti mudah diperoleh pada hari penamaan calon.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato Sri Ramlan Dato Harun berkata, perkara itu berdasarkan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) susulan rujukan yang dibuat oleh SPR berhubung mekanisme pembentukan kerajaan negeri.
Menurutnya, rujukan tersebut dibuat bagi mendapatkan penjelasan sama ada kerajaan negeri boleh dibentuk sekiranya mana-mana parti memperoleh majoriti mudah menerusi kemenangan tanpa bertanding pada hari penamaan calon.
“Dasarnya pada pembentukan kerajaan, proses pilihan raya itu perlu diselesaikan sehingga habis, barulah pembentukan kerajaan boleh dibuat.”
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13 di sini, pada Sabtu.
Pada hari penamaan calon, Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 29 daripada keseluruhan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tanpa bertanding, sekali gus mencatatkan jumlah kemenangan tanpa bertanding tertinggi setakat ini.
Berdasarkan keseluruhan 82 kerusi DUN Sarawak, sekurang-kurangnya 42 kerusi diperlukan untuk memperoleh majoriti mudah.
Baki 53 kerusi DUN akan dipertandingkan pada hari pengundian yang ditetapkan pada 12 Disember 2026.
Turut hadir Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom, Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus dan Pengarah SPR Sarawak Abang Noraffian Abang Ibrahim. –EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Ibanez Jeffery Guang