GPS Menang Tanpa Bertanding 29 Kerusi DUN, Catat Rekod Tertinggi Dalam Sejarah Pilihan Raya
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 29 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, sekali gus mencatatkan jumlah tertinggi kemenangan tanpa bertanding dalam sejarah pilihan raya negeri ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato Sri Ramlan Dato Harun berkata, jumlah itu mengatasi rekod 19 kerusi yang dimenangi tanpa bertanding pada pilihan raya negeri 1996.
“Kalau ikut rekod sebelum ini, pada tahun 1996 jumlah yang menang tanpa bertanding adalah 19 dan kali ini 29, jadi ini merupakan yang terbanyak setakat ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-13 di sini, pada Sabtu.
Turut hadir Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom, Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus dan Pengarah SPR Sarawak Abang Noraffian Abang Ibrahim.
Kesemua 29 calon GPS berkenaan disahkan menang tanpa bertanding selepas proses penamaan calon selesai, sekali gus dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak Ke-13.
Keputusan itu menyaksikan hanya 53 daripada keseluruhan 82 kerusi DUN Sarawak akan dipertandingkan pada hari pengundian, 12 Disember 2026.
Menurut Dato Sri Ramlan, kemenangan tanpa bertanding di 29 kerusi berkenaan melibatkan seramai 632,149 pengundi atau kira-kira 30.71 peratus daripada keseluruhan 2.058 juta pengundi berdaftar di Sarawak.
Sehubungan itu, pengundi di 29 kawasan DUN berkenaan tidak perlu keluar mengundi pada hari pengundian.
Beliau turut mengingatkan pengundi supaya menyemak maklumat pilihan raya bagi memastikan mereka mengetahui status kawasan DUN masing-masing.
Sementara itu, seramai 168 calon daripada pelbagai parti politik termasuk calon Bebas disahkan bertanding pada PRN Sarawak Ke-13, dengan tiada kertas penamaan calon ditolak.
Antara kerusi DUN yang dimenangi GPS tanpa bertanding ialah Tanjong Datu, Pantai Damai, Demak Laut, Tupong, Samariang, Satok, Asajaya, Muara Tuang, Sadong Jaya, Simunjan, Gedong, Sebuyau, Lingga, Beting Maro, Engkilili, Saribas, Layar dan Bukit Saban.
Turut dimenangi tanpa bertanding ialah Kuala Rajang, Semop, Daro, Repok, Dalat, Tellian, Katibas, Bukit Goram, Bekenu, Lambir dan Bukit Sari.
Daripada 53 kerusi yang dipertandingkan, sebanyak 29 kerusi menyaksikan pertandingan dua penjuru, 15 kerusi melibatkan pertandingan tiga penjuru, manakala sembilan lagi menyaksikan pertandingan empat penjuru.
Tempoh rasmi berkempen bagi 53 kawasan DUN berkenaan bermula sejurus selepas pengisytiharan calon oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya pada hari penamaan calon dan berakhir pada jam 11.59 malam, 11 Disember 2026.
Bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya, SPR turut menubuhkan 104 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau aktiviti sepanjang tempoh berkempen.
SPR berharap semua pihak yang terlibat dapat memastikan aktiviti kempen berlangsung dalam suasana aman, harmoni dan teratur dengan mematuhi undang-undang serta peraturan pilihan raya yang berkuat kuasa. –EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Ibanez Jeffery Guang