Pertandingan Tiga Penjuru Rebut Kerusi DUN Pelawan
SIBU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.54 Pelawan menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 apabila tiga calon disahkan bertanding bagi merebut mandat pengundi kawasan itu.
Ia menyaksikan penyandang kerusi berkenaan, Datuk Michael Tiang Ming Tee daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bakal berdepan dua pencabar daripada parti pembangkang.
Mereka ialah Priscilla Lau daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Irene Wong daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ng Siang Wei yang juga Setiausaha Daerah Luar Bandar Sibu mengumumkan senarai calon berkenaan selepas proses penamaan calon di Dewan Centenary, SMK Sacred Heart, di sini pada Sabtu.
Proses penamaan calon berlangsung dalam keadaan tenang dan teratur mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Selepas proses penamaan calon selesai pada 10.24 pagi, penyokong ketiga-tiga calon mula berkumpul di hadapan Dewan Centenary dengan setiap parti diwakili 10 penyokong.-EDISI UKAS