Datuk Mohammad Razi Menang Tanpa Bertanding Di DUN Saribas
DEBAK: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Mohammad Razi Sitam berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.35 Saribas tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 selepas Jemat Panjang mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pencalonannya pada Sabtu.
Jemat yang pada awalnya dijangka mencabar Datuk Mohammad Razi dalam pertandingan dua penjuru mengambil keputusan itu ketika hadir di pusat penamaan calon di Dewan Perpaduan Debak.
Dalam kenyataan media selepas proses penamaan calon selesai, Jemat menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor, termasuk kestabilan politik, kepentingan masyarakat setempat, keharmonian rakyat serta masa depan kawasan Saribas.
Beliau pada awalnya berhasrat untuk bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun menghormati keputusan kepimpinan PKR Sarawak untuk tidak meletakkan calon pada PRN kali ini.
Keputusan tersebut turut mengambil kira kepentingan memelihara hubungan baik antara Kerajaan Perpaduan dengan Kerajaan Sarawak.
Kemenangan tanpa bertanding itu menyaksikan Datuk Mohammad Razi meneruskan khidmatnya sebagai wakil rakyat Saribas bagi penggal keempat selepas berkhidmat selama tiga penggal di kawasan berkenaan. –EDISI UKAS