BINTULU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N67 Jepak menyaksikan pertandingan dua penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 selepas dua calon disahkan bertanding hari ini.
Dua calon berkenaan ialah calon Bebas, Abdul Jalil Bujang, dan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Iskandar Turkee.
Pengesahan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Awang Mohamed Nizam Awang Ali Borhan, selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Suarah Bintulu.
Abdul Jalil mendapat nombor satu, manakala Iskandar mendapat nombor dua dalam undian nombor calon.
Abdul Jalil dicadangkan oleh Sharifuddin Saiful Bahari dan disokong oleh Mohd Affandi Yusof.
Sementara itu, Iskandar dicadangkan oleh Noriha Ali dan disokong oleh Jantai Lani.
Proses penamaan calon berlangsung dalam keadaan tenang dan lancar dengan calon GPS diiringi penyokong, manakala calon Bebas hadir bersama beberapa pengiring.
Dengan pengesahan kedua-dua calon berkenaan, DUN N67 Jepak secara rasmi menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon Bebas dan GPS pada PRN Sarawak Ke-13.– EDISI UKAS