GPS, PBDS Bertembung Satu Lawan Satu Di DUN Dudong
SIBU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.52 Dudong menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Penyandang kerusi berkenaan, Dato Sri Tiong King Sing daripada GPS akan berdepan calon PBDS, Stanley Pua Api @ Japang dalam usaha mempertahankan kerusi DUN Dudong.
Pengesahan kedua-dua calon itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Sait Enggang selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Komuniti Sibu Jaya pada Sabtu.
Suasana di sekitar pusat penamaan calon turut menyaksikan kehadiran kira-kira 300 penyokong GPS dan 30 penyokong PBDS yang mula berkumpul seawal jam 8 pagi.
Proses penamaan calon yang berakhir pada jam 10 pagi berlangsung dalam keadaan aman, teratur dan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini dilaporkan.
Dengan selesainya proses penamaan calon, tumpuan kini beralih kepada tempoh berkempen menjelang pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember 2026. –EDISI UKAS