29 Kemenangan Tanpa Bertanding GPS Lambang Penghargaan Kepada Kepimpinan Premier
KUCHING: Sebanyak 29 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menang tanpa bertanding pada penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 disifatkan sebagai penghargaan terhadap kepimpinan Premier Sarawak yang berkesan, telus dan menepati komitmen kepada rakyat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, pencapaian itu mencerminkan penghormatan terhadap kepimpinan Premier Sarawak, selain menjadi hadiah atas pendekatan pentadbiran yang mengutamakan pelaksanaan janji serta keterbukaan dalam menyampaikan perkembangan projek kepada rakyat.
“Bagi saya, ini merupakan satu hadiah untuk Premier kerana ia melambangkan kepimpinan beliau yang begitu berkesan sekali. Yang kita dapat perhatikan selama ini, Premier ini cakap serupa bikin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Program Sekolah Angkat MADANI dan perasmian Program Nyambung Belajar 2026 di SMK Tun Abang Haji Openg, pada Sabtu.
Menurutnya, ketelusan kepimpinan turut terserlah apabila perkembangan sesuatu projek dijelaskan kepada rakyat, termasuk sekiranya pelaksanaannya belum dapat diselesaikan dan dirancang untuk dilaksanakan pada tahun tertentu.
Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan rakyat memahami perancangan kerajaan serta menilai komitmen kepimpinan berdasarkan usaha dan pelaksanaan yang dilakukan, bukannya sekadar janji.
Mengulas kemungkinan kemenangan tanpa bertanding turut berlaku pada peringkat Parlimen, Dato Sri Nancy berkata perkara itu masih menjadi harapan, namun penerimaan parti-parti politik mungkin berbeza antara pilihan raya negeri dan Parlimen.
“Yang penting ialah sebagai pemimpin kita perlu menjalankan tugas kita, berkhidmat untuk masyarakat dan memberi apa yang terbaik mengikut kemampuan kita serta peruntukan yang telah dibekalkan kepada kita,” katanya.-EDISI UKAS