GEDONG: Seramai 45 penerima Rumah Spektra Permata (RSP) di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) Gedong menerima replika kunci rumah masing-masing menerusi inisiatif perumahan Kerajaan Sarawak.
Penyerahan replika kunci berkenaan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, pada majlis yang berlangsung di Tapak Projek RSP SPK Gedong, pada Sabtu.
Setiap unit rumah yang ditawarkan menerusi projek berkenaan bernilai RM150,000, dengan reka bentuk serta kemudahan yang disediakan bagi memastikan penerima menikmati kediaman yang lebih selesa dan berkualiti.
Bagi membantu meringankan beban kewangan pembeli, Kerajaan Sarawak turut menyediakan Bantuan Deposit Perumahan Sarawak (HDRAS) sebanyak RM10,000 kepada pemohon yang layak melalui anak syarikat Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), Mutiara Mortgage & Credit Sdn. Bhd.
Terdahulu, Premier Sarawak bersama rombongan turut berkesempatan melawat rumah contoh bagi melihat sendiri reka bentuk, kemudahan serta keadaan kediaman yang disediakan menerusi projek berkenaan.
Turut hadir, anakanda kepada Premier Sarawak, Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Penasihat PKS, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Dato Sri Mohamad Naroden Majais, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee serta Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Fathi Hambali.-EDISI UKAS