Pendidikan Percuma Jadi Tarikan Dekati Pengundi Muda
SERIAN: Pelaksanaan pendidikan percuma di Sarawak menjadi antara pendekatan penting kerajaan negeri dalam mendekati pengundi muda, khususnya golongan berusia 18 tahun yang bakal menentukan hala tuju masa depan mereka.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N20 Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pendekatan mendekati golongan muda perlu mengambil kira keperluan serta aspirasi mereka, terutama berkaitan pendidikan dan peluang masa depan.
"Kita telah memperkenalkan pendidikan percuma untuk mereka.
"Kita juga sedang membangunkan satu pasukan petugas baharu yang lebih berfokus kepada sumber manusia dan disasarkan berdasarkan dasar ekonomi semasa kerajaan negeri yang memerlukan banyak usaha dan kerja keras, namun akan memberikan hasil yang membanggakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Tingkat Satu, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian pada Sabtu.
Dalam pada itu, pengundi khususnya di kawasan majoriti Bidayuh disaran terus menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri serta mengelakkan kawasan masing-masing daripada ketinggalan.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak memberitahu, rakyat perlu membuat pilihan secara bijak dengan melihat hala tuju politik dan pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
Menurutnya, berdasarkan perkembangan penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN13), pihak pembangkang dilihat tidak mempunyai kemungkinan untuk membentuk kerajaan negeri.
"Oleh sebab itu, saya menasihatkan khususnya di kerusi-kerusi Bidayuh, kita perlu kekal bersama kerajaan dan menyokong GPS.
"Walau apapun yang diperkatakan oleh orang lain, itulah yang perlu dilakukan kerana kita tidak mahu ketinggalan dalam pembangunan," jelas beliau. -EDISI UKAS