Kerusi DUN Bukit Kota Berdepan Pertembungan Satu Lawan Satu
LIMBANG: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.79 Bukit Kota bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan Ali Abdullah daripada Parti Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Kedua-dua calon disahkan bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Sulaiman Engal, selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Suarah Limbang pada Sabtu.
Tiada kertas penamaan calon ditolak sepanjang proses berkenaan, sekali gus mengesahkan pertandingan dua penjuru bagi kerusi tersebut.
Proses penamaan calon berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal dengan pemantauan pihak keselamatan.
Terdahulu, kira-kira 2,000 penyokong GPS berarak mengiringi calon parti itu dari Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.79 Bukit Kota menuju ke Dewan Suarah Limbang.
Dengan selesainya proses penamaan calon, kedua-dua calon kini memasuki tempoh berkempen menjelang pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember ini. -EDISI UKAS