LIMBANG: Seramai dua calon disahkan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.80 Batu Danau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, menyaksikan pertandingan dua penjuru.
Pengesahan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Michelle Hildalyne Jering Anthony Luta, selepas proses penamaan calon selesai di Stadium Tertutup Limbang pada Sabtu.
Calon yang disahkan bertanding ialah Datu Jack Liam daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Peri Lasung daripada Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).
Proses penamaan calon berlangsung dengan kehadiran kira-kira 1,000 penyokong GPS yang berhimpun bagi memberikan sokongan kepada calon baharu parti berkenaan.
Secara keseluruhannya, proses penamaan calon di Stadium Tertutup Limbang berlangsung dalam suasana aman dan terkawal dengan pemantauan pihak keselamatan bagi memastikan kelancaran urusan serta ketenteraman sepanjang proses berkenaan.
Turut hadir Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah, memberikan sokongan dan mengiringi calon GPS ke pusat penamaan calon, sekali gus menyuntik semangat menjelang saingan di kerusi berkenaan.-EDISI UKAS