SIBURAN: Seramai empat calon disahkan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N19 Mambong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 selepas proses penamaan calon selesai di Pejabat Daerah Siburan, pada Sabtu.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ranum Bari mengesahkan kesemua calon berkenaan layak bertanding selepas proses semakan dan pengesahan dokumen pencalonan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Calon yang disahkan bertanding ialah Datuk Dr Jerip Susil mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), Sanjan Daik mewakili Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Diog Dios mewakili Parti Bangsa Malaysia (PBM) manakala Rangen Jamang (PBK) mewakili Parti Bumi Kenyalang.
Pengesahan itu menyaksikan pertandingan empat penjuru bagi kerusi DUN Mambong pada PRN Sarawak Ke-13.
Proses penamaan calon berlangsung dalam keadaan tenang dan lancar dengan urusan pencalonan dikendalikan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat penamaan calon berkenaan.-EDISI UKAS