RM100,000 Perkukuh Infrastruktur Pembelajaran SMK Tun Abang Haji Openg
KUCHING: Sebanyak RM100,000 peruntukan menerusi Program Sekolah Angkat MADANI disalurkan kepada SMK Tun Abang Haji Openg bagi meningkatkan kemudahan pembelajaran serta menyediakan persekitaran pendidikan yang lebih kondusif kepada pelajar.
Peruntukan itu meliputi penyediaan 15 projektor, 26 papan putih bergerak, pembelian meja dan kerusi murid serta penambahbaikan bilik belajar asrama, sekali gus menyokong keperluan pembelajaran dan pengajaran di sekolah berkenaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, pendidikan merupakan antara enam teras utama pembangunan di kawasan Parlimen Santubong, dengan komitmen berterusan untuk memastikan pelajar mendapat kemudahan sewajarnya bagi menyokong perkembangan akademik dan potensi diri.
“Di Parlimen Santubong, pendidikan ini menjadi agenda utama untuk membangunkan pelajar serta komuniti. Kita mahu setiap anak-anak dapat belajar dengan selesa dan cikgu-cikgu pula mempunyai kemudahan yang diperlukan untuk mengajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Program Sekolah Angkat MADANI dan perasmian Program Nyambung Belajar 2026 di SMK Tun Abang Haji Openg pada Sabtu.
Menurutnya, usaha memperkukuh prasarana pendidikan perlu dilaksanakan melalui kerjasama pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan, komuniti dan sektor swasta, bagi memastikan sokongan terhadap pembangunan pendidikan dapat diperluas secara menyeluruh.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) melalui Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak atas pemilihan SMK Tun Abang Haji Openg sebagai sekolah angkat, selain menghargai komitmen Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Datuk Jasni Kipli dalam menyokong usaha meningkatkan kemudahan sekolah.
Selain kemudahan fizikal, sekolah berkenaan turut menerima sokongan pembelajaran menerusi program Tuisyen MADANI bagi mata pelajaran Sains untuk calon SPM dan STPM serta murid asrama, manakala guru diberi peluang meningkatkan kompetensi melalui Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP).
Dato Sri Nancy berkata, pengukuhan pembelajaran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) penting bagi menyediakan lebih ramai pelajar untuk melanjutkan pengajian serta mengisi keperluan tenaga kerja dalam bidang berkenaan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Program Nyambung Belajar 2026 anjuran Persatuan Mahasiswa Sarawak Universiti Malaya (PMSUM) turut memberi pendedahan kepada pelajar mengenai peluang melanjutkan pengajian selepas SPM, termasuk pilihan dalam bidang STEM, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kemahiran digital, biasiswa serta bantuan kewangan.
“Apa yang dipelajari hari ini akan membantu anak-anak membina kehidupan yang lebih baik untuk diri sendiri dan keluarga,” katanya, menekankan kepentingan pendidikan sebagai asas membina kehidupan lebih baik untuk diri sendiri dan keluarga.
Pendedahan itu diharap dapat membantu pelajar membuat perancangan lebih awal mengenai laluan pendidikan dan kerjaya, selain meningkatkan kesedaran terhadap peluang yang tersedia selepas tamat persekolahan.
Menurutnya, usaha memperkukuh pendidikan memerlukan pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat, dengan penyelarasan sumber serta kepakaran pelbagai agensi, institusi pengajian tinggi, komuniti dan sektor industri bagi memastikan sokongan terhadap pelajar dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh.
Pada masa sama, bantuan pek makanan turut disediakan kepada pelajar yang menduduki peperiksaan SPM bagi membantu memenuhi keperluan makanan mereka sepanjang tempoh peperiksaan, dengan sokongan PBB.-EDISI UKAS