Stadium Perpaduan Teliti Keperluan Teknikal Acara Gimrama, Gimnastik Sukan SEA 2027
KUCHING: Keperluan teknikal dan operasi Stadium Perpaduan sebagai venue pertandingan gimrama dan gimnastik bagi Sukan SEA Ke-34 Malaysia 2027 diteliti menerusi satu lawatan tapak di sini, pada Sabtu.
Lawatan sekitar jam 2.15 petang itu melibatkan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia 2027 (MASOC), Sekretariat Kluster Sarawak serta wakil agensi berkaitan bagi menilai keperluan kemudahan dan penyelarasan persiapan venue menjelang temasya berkenaan.
Antara aspek yang diberi perhatian ialah penyediaan khemah, kawalan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), kemudahan telekomunikasi oleh Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) serta keperluan penyiaran dan liputan pertandingan yang melibatkan Sarawak Media Group (SMG).
Perbincangan turut merangkumi penyusunan kedudukan hakim pertandingan, kawasan khas tetamu kenamaan (VIP) serta penyediaan bilik perubatan bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku kecemasan sepanjang pertandingan berlangsung.
Lawatan berkenaan turut memberi peluang kepada pengurus sukan mengenal pasti keperluan khusus pertandingan, termasuk aspek susun atur venue dan kemudahan sokongan bagi memastikan kelancaran pengurusan acara serta keselesaan atlet dan pihak berkepentingan.
Stadium Perpaduan yang kini menjalani kerja-kerja naik taraf dijangka siap pada Februari 2027 sebelum digunakan sebagai venue pertandingan gimrama dan gimnastik sepanjang temasya berkenaan.
Lawatan ke Stadium Perpaduan itu merupakan lokasi terakhir bagi jadual lawatan tapak pada Sabtu dalam siri penilaian kesiapsiagaan venue Sukan SEA Malaysia 2027 bagi Kluster Sarawak yang berlangsung dari 24 November hingga 3 Disember 2026.
Siri lawatan tersebut melibatkan pengurus sukan dan wakil agensi berkaitan ke beberapa venue pertandingan termasuk lawn bowls, menembak, wushu, tenpin boling dan e-sukan bagi meneliti tahap kesiapsiagaan serta menyelaras keperluan setiap lokasi.
Turut terlibat ialah ahli-ahli jawatankuasa daripada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MySED), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), MIPD, MUT, M-FICORD, SMA, UKAS, SMG, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kesihatan, UKPS, PDRM serta Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS).- EDISI UKAS