Datuk Len Talif Kekal Wakili Kuala Rajang, Menang Tanpa Bertanding
TANJUNG MANIS: Datuk Len Talif Salleh kekal mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) N.41 Kuala Rajang selepas disahkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Kemenangan itu membolehkan beliau meneruskan mandat sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan, dengan pembangunan infrastruktur, sosioekonomi, pendidikan, pembangunan sosial dan kebajikan masyarakat terus menjadi antara keutamaan.
Datuk Len Talif berkata, mandat yang diterima merupakan amanah besar yang akan dilaksanakan sebaik mungkin bagi memastikan agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat terus diperkukuh.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pengumuman rasmi kemenangan tanpa bertanding di Pusat Penamaan Calon, Dewan IKS Tanjung Manis, pada Sabtu.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas kepercayaan yang diberikan sekali lagi untuk mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Kuala Rajang.
Menurutnya, masih banyak agenda pembangunan yang perlu diteruskan, khususnya pembangunan infrastruktur yang mampu memberi impak kepada kemajuan sosioekonomi dan kehidupan masyarakat setempat.
Datuk Len Talif mengemukakan borang pencalonannya pada 9.15 pagi, namun tiada calon lain mengemukakan borang pencalonan bagi kerusi DUN Kuala Rajang sehingga tamat tempoh penamaan calon pada 10 pagi.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ismail Kasah, mengumumkan kemenangan rasmi beliau tanpa bertanding pada 10.10 pagi.-EDISI UKAS