Kemenangan Tanpa Bertanding Jadi Amanah Besar Buat Nashfarini
BETING MARO: Kemenangan tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.29 Beting Maro pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 disifatkan sebagai satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat.
Awg Nashfarini Awg Sarbini berkata, kemenangan itu disambut dengan penuh kesyukuran dan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan serta kepercayaan kepadanya untuk mewakili kawasan berkenaan.
“Ini adalah satu isyarat daripada rakyat Beting Maro yang bersatu padu memberi kepercayaan kepada saya untuk menerajui DUN N.29 Beting Maro.
“Saya tidak akan mensia-siakan kepercayaan rakyat kepada saya, insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman kemenangan tersebut pada Sabtu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, atas peluang yang diberikan untuk membawa tiket GPS, selain keluarga, ibu bapa, mantan ADUN Beting Maro, Dato Razaili Gapor dan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli atas sokongan mereka.
Mengulas sokongan penyokong yang mengiringinya pada hari penamaan calon, beliau berkata, kehadiran ramai penyokong itu di luar jangkaannya, lebih-lebih lagi sebagai calon baharu di kawasan berkenaan.
Katanya, pengalaman berkhidmat di kawasan DUN Beting Maro sebelum ini serta di peringkat Parlimen Batang Lupar membantu membina hubungan dengan masyarakat setempat.
Justeru, beliau berikrar untuk meneruskan agenda pembangunan di Beting Maro dengan memberi perhatian kepada keperluan rakyat menerusi pendekatan turun padang serta kerjasama dengan ketua masyarakat dan agensi berkaitan.
“Untuk apa yang telah dibawa oleh mantan ADUN terdahulu, insya-Allah, apa yang baik kita akan teruskan dan apa yang kurang kita akan cuba perbaiki untuk menjadi lebih baik,” ujarnya.
Beliau berharap kerjasama antara kepimpinan kawasan, masyarakat setempat dan agensi kerajaan dapat terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan di Beting Maro dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat.-EDISI UKAS