GPS Pertahan DUN N.56 Dalat, Dato Sri Fatimah Menang Tanpa Bertanding
DALAT: Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus mengekalkan penguasaan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.56 Dalat apabila calonnya, Dato Sri Fatimah Abdullah, disahkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Pengesahan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mathew Hubert, selepas hanya seorang calon memenuhi syarat pencalonan sebaik proses penamaan dan semakan dokumen selesai di Kompleks Kebajikan Dalat, pada Sabtu.
Keputusan terbaharu itu memperlihatkan kesinambungan sokongan terhadap GPS di DUN N.56 Dalat, sekali gus membolehkan parti berkenaan mengekalkan kerusi tersebut tanpa melalui pertandingan di peti undi.
Sementara itu, proses penamaan calon berlangsung lancar dalam suasana tenang dan terkawal dengan urusan dikendalikan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), selain pemantauan pihak polis bagi memastikan keselamatan serta kelancaran keseluruhan proses.-EDISI UKAS