Leonard Yakin Raih Semula Keyakinan Pengundi Undop Pada PRN13
SIMANGGANG: Pengalaman pernah berkhidmat sebagai guru di kawasan Undop menjadi antara kelebihan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang, Leonard Libau Anol, dalam usaha meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Beliau berkata, hubungan rapat dengan masyarakat setempat, khususnya keluarga bekas murid yang pernah dididiknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang, Sri Aman, menjadi asas untuk mendekati pengundi di kawasan berkenaan.
Menurut Leonard, sebahagian bekas anak muridnya kini sudah mencapai usia layak mengundi dan berpotensi menjadi antara kelompok penting dalam menentukan sokongan kepada GPS pada pilihan raya kali ini.
“Saya percaya golongan anak muda termasuk bekas anak murid saya dari Undop ini merupakan antara kelompok penting yang perlu didekati dan berharap mereka dapat memberikan sokongan kepada GPS dalam pilihan raya ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon bagi PRN Sarawak Ke-13 di Pusat Penamaan Calon DUN Simanggang, Perpustakaan Awam Majlis Daerah Sri Aman (MDSA), di sini, pada Sabtu.
Sehubungan itu, Leonard menyeru pengundi, khususnya golongan muda, agar memberikan sokongan kepadanya dan GPS yang komited membawa pembangunan serta kemajuan kepada rakyat.
Katanya, pendekatan lebih strategik perlu dilaksanakan bagi mendekati golongan belia, antaranya menerusi penganjuran aktiviti sukan, permainan dan program bersesuaian dengan minat serta kecenderungan mereka.
Beliau berharap pendekatan tersebut dapat menggalakkan penglibatan anak muda dalam aktiviti bermanfaat, sekali gus membina keyakinan mereka terhadap usaha pembangunan yang dibawa GPS.
PRN Sarawak Ke-13 menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi kerusi DUN Simanggang membabitkan Leonard Libau Anol daripada GPS, Walsin@Wilson Entabang sebagai calon Bebas dan Peli Aron daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Pengundian bagi PRN Sarawak Ke-13 dijadualkan berlangsung pada 12 Disember ini.- EDISI UKAS