Datuk Gerald Rentap Teruskan Mandat Di DUN N.36 Layar
BETONG: Datuk Gerald Rentap Jabu akan terus mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Layar selepas disahkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Pengisytiharan kemenangan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Laga Kueh selepas hanya satu kertas penamaan calon diterima sepanjang tempoh penamaan calon di Dewan Layar, Pejabat Daerah Betong, pada Sabtu.
Datuk Gerald Rentap mengemukakan kertas penamaan calon pada jam 9.02 pagi, dengan Abang Ullie Abang Pay sebagai pencadang dan Gebriel Spencer Sang sebagai penyokong.
Selepas proses semakan kertas penamaan calon selesai dan didapati memenuhi syarat yang ditetapkan, Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengisytiharkan beliau menang tanpa bertanding, sekali gus mengesahkan mandat untuk terus berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi N.36 Layar.
Terdahulu, calon GPS itu tiba di pusat penamaan calon sekitar jam 8.10 pagi dengan diiringi penyokong yang berarak di sekitar Bandar Betong dalam keadaan hujan renyai-renyai.
Proses penamaan calon berlangsung dalam keadaan aman, teratur dan lancar dengan kawalan keselamatan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong.-EDISI UKAS