Datuk Snowdan Berdepan Saingan Dua Penjuru Di DUN Balai Ringin
PANTU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.30 Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan bakal berdepan saingan dua penjuru dalam usaha mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Beliau yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan dicabar oleh calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Petrus Simon Awan selepas kedua-dua calon disahkan layak bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Raca Mulong.
Pengesahan itu dibuat selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Sri Pantu pada jam 10 pagi, Sabtu.
Proses penamaan calon turut menyaksikan kehadiran kira-kira 1,500 orang, termasuk 1,200 penyokong GPS yang hadir bagi memberikan sokongan kepada calon masing-masing.
Suasana di sekitar pusat penamaan calon berada dalam keadaan terkawal dengan pemantauan pihak polis bagi memastikan kelancaran proses berkenaan.
Para penyokong kedua-dua calon turut memberikan kerjasama dengan mematuhi peraturan dan arahan keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember 2026 sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak Ke-13. –EDISI UKAS