Kemenangan GPS Di 29 Kerusi DUN Tanpa Bertanding Cerminan Proses Demokrasi
KUCHING: Kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tanpa bertanding di 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 merupakan sebahagian daripada proses demokrasi dan bukannya petunjuk kepada amalan demokrasi yang lemah.
Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, mandat yang diberikan kepada kerajaan mencerminkan keyakinan rakyat terhadap dasar serta usaha pembangunan yang telah dilaksanakan di negeri ini.
"Kita memberikan kebebasan kepada rakyat untuk mencalonkan seseorang bagi mencabar kerajaan namun mereka berpendapat kerajaan telah melaksanakan tanggungjawabnya dan menyampaikan hasil pembangunan kepada rakyat Sarawak.
"Sebab itulah mereka tidak mencalonkan sesiapa untuk menentang kita. Ini juga merupakan demokrasi. Mudah-mudahan, kita akan memperoleh kemenangan di kawasan-kawasan lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-25 Kejiranan Mesra Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Hikmah Exchange Event Centre, di sini, pada Sabtu.
Bagaimanapun, Datuk Patinggi Abang Zohari mengingatkan mandat yang diberikan rakyat turut membawa tanggungjawab besar kepada semua wakil rakyat untuk meneruskan usaha membangunkan negeri.
Ujarnya, perancangan menuju 2030 dan seterusnya akan terus memberi penekanan kepada kesinambungan pentadbiran, penyediaan pendidikan percuma serta bantuan kepada ibu bapa demi menjamin masa depan lebih cerah kepada generasi akan datang.
Dalam pada itu, beliau turut berharap kemenangan GPS tanpa bertanding di PRN Sarawak Ke-13 untuk tiga kawasan Parlimen iaitu Petra Jaya, Santubong dan Batang Sadong turut disambung dengan kemenangan di peringkat Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 yang akan datang.
“Dan saya rasakan Insya-Allah, Ahli Parlimen kita pun perlu seperti hari ini insya-Allah apabila diadakan pilihan raya peringkat parlimen. Mudah-mudahan.
“Jadi sebenarnya tiga parlimen kita, kawasan Dato Sri Nancy Shukri (Ahli Parlimen Santubong), Datuk Amar Fadillah Yusof (Ahli Parlimen Petra Jaya) dengan Rodiyah Sapiee (Ahli Parlimen Batang Sadong) di kawasan kami di sana semua bersih tanpa bertanding,” jelasnya.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Ibrahim Baki, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Datuk Bandar DBKU Dato Hilmy Othman serta kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus