Pengurusan Pekerja Bukan Pemastautin Turut Tanggungjawab Majikan
KUCHING: Tanggungjawab mengurus pekerja bukan pemastautin secara teratur dan mematuhi undang-undang turut menuntut komitmen majikan.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, majikan perlu memainkan peranan aktif dalam memastikan kelulusan pengambilan diperoleh, dokumentasi pekerjaan diselenggara dengan baik serta keperluan imigresen dan perlindungan pekerja dipatuhi.
Menurutnya, perkembangan dan kepelbagaian sektor industri di Sarawak memerlukan pengurusan tenaga kerja yang lebih tersusun, dengan tadbir urus yang baik serta pematuhan peraturan menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Saya ingin menegaskan bahawa pengurusan pekerja bukan pemastautin yang berkesan bukanlah tanggungjawab Kerajaan semata-mata.
“Walaupun Kerajaan bertanggungjawab menetapkan dasar, kerangka peraturan dan proses pentadbiran, majikan juga mempunyai tanggungjawab penting untuk memastikan amalan pengambilan dan pengurusan pekerja mematuhi undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua pada Program ‘SCSIMon Industry Update’ di Kompleks UNIFOR, di sini baru-baru ini.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut mengingatkan majikan supaya memahami kewajipan statutori masing-masing susulan pindaan terkini kepada Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).
Jelasnya, kefahaman terhadap peruntukan undang-undang penting bagi memastikan pengurusan pekerja bukan pemastautin tidak hanya tertumpu kepada proses pengambilan, malah merangkumi dokumentasi, pematuhan imigresen serta perlindungan hak pekerja.
Menyentuh mengenai program, beliau memberitahu ‘SCSIMon Industry Update’ sebagai ruang penting untuk memperkukuh penyelarasan antara agensi kerajaan dengan pihak industri, khususnya dalam memahami cabaran sebenar yang dihadapi majikan.
Menurutnya, perbincangan sepanjang dua hari program itu merangkumi pelbagai aspek pelaksanaan, termasuk prosedur kelulusan, dokumentasi, urusan imigresen, pemeriksaan kesihatan, perlindungan keselamatan sosial dan perundangan buruh.
“Perkongsian pengalaman sebenar industri, termasuk pelaksanaan dan penggunaan sistem FWTA, juga amat penting.
“Pengalaman sedemikian membantu kita memahami realiti praktikal yang dihadapi oleh majikan serta mengenal pasti bidang yang memerlukan penambahbaikan lanjut,” ujarnya lagi.
Hadir sama, Pengarah Unit Pengurusan Imigresen dan Buruh, Richard Lon. -EDISI UKAS