Dr. Annuar Enggan Tabur Janji 'Bulan Dan Bintang', Tumpu Agenda Pendidikan Di Nangka
SIBU: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N55 Nangka, Datuk Dr. Annuar Rapaee menegaskan tidak mahu menabur janji 'bulan dan bintang' kepada pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.
Sebaliknya, beliau hanya berani melaksanakan perkara dalam bidang kuasa serta kemampuannya sendiri, khususnya dalam memperkasakan agenda pendidikan anak-anak di Sibu.
Katanya, jaminan utamanya untuk tempoh lima tahun akan datang adalah untuk terus bekerja sekuat-kuatnya bagi memastikan generasi muda Sarawak dibekalkan dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi sebagai teras masa depan mereka.
"Saya tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang. Saya berani berjanji pada malam ini sebab janji tersebut adalah di bawah kuasa saya sendiri, naluri dan kehendak saya.
"Saya berjanji akan bekerja sekuat mungkin untuk mencapai sesuatu yang saya harapkan terutamanya dalam pendidikan anak-anak kita, bukan sahaja di Sibu tetapi di seluruh Sarawak supaya mereka pandai dan mempunyai ilmu yang cukup," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pidato Umum Malam Penamaan Calon GPS N55 Nangka di Dewan MUC di sini, pada Jumaat.
Mengimbas kembali rekod perkhidmatannya sejak mula bertanding pada PRN 2011, 2016, dan 2021, Datuk Dr. Annuar mengakui secara terbuka bahawa dalam tempoh 15 tahun menjadi wakil rakyat, sudah pasti terdapat kekurangan di samping kejayaan pembangunan yang telah dicapai di Nangka.
Menurut beliau, meskipun mustahil untuk memuaskan hati semua pihak sepenuhnya, keberanian seorang pemimpin diukur melalui kesediaan memikul amanah dan tanggungjawab secara nyata, bukan sekadar bersuara di media sosial.
"Apabila saya dicalonkan semula, saya berani menerima tanggungjawab dan amanah ini semata-mata untuk masyarakat kita.
“Saya menawarkan diri sekali lagi untuk berkhidmat dalam tempoh lima tahun ini, kalau tidak lebih baik daripada apa yang berlaku 15 tahun yang lepas," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru jentera empat parti komponen GPS iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) agar mengekalkan disiplin tinggi serta perpaduan sepanjang 14 hari tempoh berkempen.
Beliau mengingatkan jentera parti supaya mengelakkan politik fitnah, caci-maki, serta perselisihan faham dalaman, sebaliknya menonjolkan dasar-dasar kerajaan GPS yang terbukti mementingkan kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang.
"Kemenangan ini bukan kemenangan peribadi untuk saya, tetapi kemenangan kita di Nangka dan di seluruh Sarawak bagi memastikan GPS kembali memerintah serta kuasa penentuan anak Sarawak kekal di tangan anak Sarawak," tegasnya.-EDISI UKAS