SIBURAN: Kemenangan tanpa bertanding di 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 tidak boleh membuatkan jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) berasa selesa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kemenangan awal itu tidak seharusnya menyebabkan mana-mana kawasan mengurangkan usaha, memandangkan GPS masih perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 76 kerusi untuk memastikan kedudukan kukuh dalam meneruskan agenda pembangunan Sarawak.
“Jangan berasa selesa dengan kemenangan yang telah dicapai di mana kita sudah menang tanpa bertanding di 29 kerusi.
“Sebenarnya, kita memerlukan sekurang-kurangnya 76 kemenangan. Kalau boleh, sasaran kita ialah 82 kerusi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Pemuda GPS Zon 4, di sini pada Ahad.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyarankan kawasan yang telah menang tanpa bertanding digalakkan membantu calon GPS di kawasan lain, termasuk dengan berkongsi jentera bagi memperkukuh gerak kerja kempen.
“Kita menggalakkan kawasan-kawasan dah menang tanpa bertanding untuk membantu kawan-kawan yang bertanding.
“Tidak kiralah asalkan mereka adalah calon GPS untuk kita bantu jentera kita supaya boleh membantu di kawasan-kawasan yang memerlukan bantuan,” katanya.
Datuk Amar Fadillah berkata, usaha membantu kawasan yang masih bertanding sedang dirancang bagi memastikan jentera GPS dapat digerakkan secara lebih berkesan.
Beliau turut mengingatkan calon yang menang tanpa bertanding supaya tidak mengambil ringan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, sebaliknya melihat kemenangan itu sebagai amanah untuk memenuhi harapan pengundi. -EDISI UKAS