GPS Bertanding Atas Tiket Sarawak Pada PRU, Gabungan Nasional Diputus Kemudian
SIBURAN: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bertanding atas tiket Sarawak pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, sebarang keputusan mengenai bentuk kerjasama atau gabungan di peringkat nasional akan ditentukan kemudian.
“Premier sudah menjelaskan bahawa GPS akan bertanding menggunakan tiket Sarawak.
“Bagaimana kita hendak membentuk gabungan di peringkat nasional, perkara itu akan diputuskan kemudian dan biarkan pilihan raya berlangsung dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Pemuda GPS Zon 4, di sini pada Ahad.
Jelas beliau lagi, perkara berkaitan gabungan di peringkat nasional akan diputuskan pada masa yang sesuai.
Bagaimanapun, beliau buat masa ini belum memberikan sebarang perincian lanjut mengenai bentuk kerjasama yang mungkin dipertimbangkan. -EDISI UKAS