Wanita Asajaya Terus Berperanan Dalam Pembangunan Komuniti
ASAJAYA: Peranan wanita dalam menggerakkan pembangunan masyarakat di peringkat akar umbi perlu terus diperkukuh menerusi penglibatan aktif dalam program kemasyarakatan dan usaha mendekati penduduk setempat.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, penganjuran Hari Keluarga Wanita Asajaya bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama anggota.
“Malah program seumpama ini memberi ruang untuk memperkukuh kerjasama dalam kalangan wanita dan masyarakat setempat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada program Hari Keluarga Wanita Asajaya, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Datuk Rubiah merakamkan penghargaan kepada golongan wanita, khususnya jentera wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Asajaya, atas komitmen menjayakan pelbagai program kemasyarakatan serta usaha mendekati penduduk.
Mengulas perkembangan politik semasa, beliau menyifatkan kemenangan tanpa bertanding Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 sebagai perkembangan penting dalam kesinambungan kepimpinan kawasan berkenaan.
Beliau berharap semangat kerjasama yang ditunjukkan masyarakat, termasuk golongan wanita, dapat diteruskan bagi menyokong usaha pembangunan di Asajaya.
Turut hadir Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Asajaya, Mahani Sahari. -EDISI UKAS