Kemenangan Tanpa Bertanding Tuntut Tanggungjawab Lebih Besar Kepada Rakyat
KUCHING: Kemenangan tanpa bertanding yang diraih 29 calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 perlu diterjemahkan kepada tanggungjawab lebih besar untuk memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat terus diberi keutamaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri berkata, kemenangan itu bukan alasan untuk mengurangkan usaha berkhidmat, sebaliknya membawa amanah yang perlu ditunaikan kepada rakyat.
“Ini merupakan satu kemenangan yang hadir bersama tanggungjawab. Kita perlu memikul amanah untuk terus berkhidmat dan memberi kembali kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Karnival Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Sarawak, di sini pada Ahad.
Menurut beliau, keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri turut dipengaruhi rekod pembangunan yang telah dilaksanakan, termasuk pembinaan 22 jambatan serta pelbagai inisiatif ekonomi dan bantuan untuk masyarakat.
Justeru, kepercayaan yang diberikan rakyat perlu disusuli usaha berterusan bagi memastikan pembangunan dan inisiatif kerajaan memberi manfaat kepada golongan sasaran. -EDISI UKAS