KOTA SAMARAHAN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.17 Stakan bagi meninjau persiapan jentera menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 pada Ahad.
Ketibaan beliau disambut calon GPS bagi kerusi DUN Stakan, Datuk Hamzah Brahim yang turut memberikan taklimat mengenai perkembangan gerak kerja kempen di kawasan berkenaan.
Datuk Hamzah ketika ditemui pemberita berkata, kehadiran Timbalan Perdana Menteri itu memberikan suntikan motivasi kepada petugas dan penyokong dalam melaksanakan gerak kerja sepanjang tempoh berkempen.
Menurutnya, tumpuan pada hari pertama kempen adalah untuk menyantuni rakan seperjuangan dan penyokong, selain menggalakkan pengundi yang layak supaya keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 12 Disember ini.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk menggalas amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya sepanjang PRN Sarawak Ke-13.
Lawatan berkenaan turut memberi ruang kepada kepimpinan parti untuk menyampaikan nasihat dan panduan kepada petugas setempat dalam menyelaras gerak kerja sepanjang tempoh berkempen.
Pada PRN Sarawak Ke-13, kerusi DUN N.17 Stakan menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Datuk Hamzah Brahim daripada GPS dan Atet Dego daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK). –EDISI UKAS