Projek Tebatan Banjir Hampir RM50 Juta Tangani Banjir Kilat Di Samarindah
KOTA SAMARAHAN: Projek tebatan banjir melibatkan peruntukan hampir RM50 juta daripada Kerajaan Sarawak sedang dalam proses pelaksanaan bagi menangani masalah banjir kilat di Taman Samarindah.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.17 Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, projek yang dilaksanakan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu merangkumi pembinaan saliran utama serta parit monsun berkapasiti lebih besar di beberapa lokasi yang dikenal pasti.
Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan bertujuan meningkatkan kapasiti aliran air sekali gus mengurangkan risiko banjir kilat yang menjejaskan penduduk setempat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Bilik Gerakan GPS DUN Stakan di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Datuk Hamzah berkata, projek penambahbaikan sistem perparitan di kawasan Uni Garden turut mendapat persetujuan Kerajaan Sarawak dan kini dalam proses pelaksanaan, termasuk kerja penyambungan longkang di beberapa lokasi.
Selain usaha menangani masalah banjir, Kerajaan Sarawak turut meluluskan projek pembinaan tangki air di Samarindah bagi menambah baik sistem bekalan air di kawasan berkenaan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana meluluskan projek tangki air Samarindah. Saya yakin dan percaya tangki air tersebut akan dapat dibangunkan selepas proses berkaitan diselesaikan,” katanya.
Beliau menambah, usaha mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan turut diberikan perhatian oleh kerajaan menerusi agensi berkaitan.
Pelaksanaan projek-projek infrastruktur tersebut dijangka dapat meningkatkan kecekapan sistem saliran dan bekalan air, sekaligus mempertingkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup penduduk setempat. –EDISI UKAS