1,161 Kes Berkaitan Kanak-Kanak Direkodkan JKM Sarawak Dalam Sembilan Bulan
KUCHING: Sebanyak 1,161 kes berkaitan kanak-kanak direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak bagi tempoh Januari hingga September 2026, dengan kes memerlukan pemeliharaan dan perlindungan mencatat jumlah tertinggi sebanyak 611 kes.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, setiap kanak-kanak berhak membesar dalam persekitaran yang selamat serta mendapat perhatian dan sokongan sewajarnya tanpa mengira latar belakang atau keadaan keluarga.
Menurutnya, pendekatan inklusif perlu diperkasakan bagi memastikan kanak-kanak berkeperluan khas dan daripada keluarga kurang berkemampuan turut mendapat peluang yang adil untuk mengembangkan potensi diri.
“Tiada seorang pun kanak-kanak harus tercicir daripada peluang untuk menyerlah termasuk kanak-kanak berkeperluan khas atau daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Pendekatan inklusif perlu kita ambil untuk memastikan setiap kanak-kanak diberikan peluang yang adil untuk mencapai potensi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Sambutan Hari Kanak-Kanak 2026 Peringkat Negeri Sarawak, di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut statistik JKM Sarawak, Ahli Parlimen Santubong itu mendedahkan, selain 611 kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan di bawah Seksyen 17, sebanyak 214 kes melibatkan kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah turut direkodkan, manakala 196 kes berkaitan kehamilan luar nikah.
Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab melindungi kanak-kanak tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada agensi kerajaan, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh daripada keluarga, komuniti, institusi pendidikan, sektor swasta dan masyarakat.
Menurutnya, usaha memastikan keselamatan serta perkembangan kanak-kanak perlu dilaksanakan secara bersama supaya setiap kanak-kanak mendapat perlindungan dan peluang untuk membesar dalam persekitaran yang kondusif.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi. -EDISI UKAS