Wanita PBB Asajaya Diiktiraf Sebagai Penggerak Penting Di Peringkat Akar Umbi
ASAJAYA: Peranan Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Asajaya dalam mendekati masyarakat dan menggerakkan aktiviti di peringkat akar umbi terus menjadi antara kekuatan dalam memastikan hubungan antara kepimpinan dengan penduduk setempat terpelihara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kekuatan pergerakan wanita bergantung pada semangat kesatuan serta komitmen anggota dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hari Keluarga Wanita Asajaya, di sini pada Ahad.
Menurutnya, penglibatan wanita dalam aktiviti lapangan membolehkan mereka mendekati masyarakat secara langsung, selain membantu memastikan keperluan dan hubungan penduduk dengan kepimpinan kawasan terus diberi perhatian.
Berdasarkan pengalamannya sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat, beliau turut mengiktiraf sumbangan jentera wanita yang sentiasa memainkan peranan dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada jentera wanita PBB Cawangan Asajaya atas komitmen dan sokongan yang diberikan, termasuk sepanjang tempoh pilihan raya. -EDISI UKAS