Masjid Al-Abyad Dijangka Jimat RM16,000 Setahun Melalui Tenaga Solar
KUCHING: Pemasangan sistem fotovolta solar (PV) di Masjid Al-Abyad dijangka menjimatkan kos elektrik sekitar RM16,000 setahun bagi mengurangkan beban perbelanjaan operasi institusi berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Solarvest itu turut menyokong usaha memperluas penggunaan tenaga bersih dalam kalangan institusi masyarakat.
“Bila kita memasang solar, ia bukan sahaja menjimatkan penggunaan tenaga, tetapi turut membantu pihak utiliti kerana dapat mengurangkan pembakaran gas ataupun minyak.
“Pada masa sama, pelepasan gas dapat dikurangkan dan ini membantu menyelamatkan alam sekitar kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek PV Solar dan Pengecas EV Solarvest, di sini pada Ahad.
Selain Masjid Al-Abyad, inisiatif berkenaan turut melibatkan Masjid Suqman di Taman Suqman, Masjid Ikhwan Islam serta Madrasah Darul Ulum di Kampung Rambangi.
Datuk Amar Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya turut menggalakkan lebih banyak masjid dan rumah ibadat meneroka kerjasama dengan pemain industri bagi memperluas pemasangan sistem solar melalui pendekatan perkongsian manfaat.
Menurutnya, menerusi pendekatan itu, pihak industri boleh menyediakan pelaburan bagi pemasangan sistem berkenaan, manakala hasil penjimatan dapat dikongsi antara pelabur dengan pihak institusi.
“Harap-harap banyak masjid dan rumah ibadat dapat dipasang dengan solar ini dengan mencari kerjasama dengan pemain industri yang boleh melabur dan hasil penjimatan boleh dikongsi antara pihak masjid dengan pelabur,” katanya lagi. -EDISI UKAS