RM12 Juta Diperuntukkan Naik Taraf Sembilan Pusat Perkhidmatan Autisme Di Borneo
KUCHING: Sebanyak RM12 juta diperuntukkan bagi peluasan sembilan Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi memperluas akses kepada perkhidmatan saringan, diagnosis, terapi serta pemulihan untuk individu autisme.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, saringan dan diagnosis awal menjadi antara komponen penting yang ditawarkan bagi membolehkan intervensi dimulakan seawal mungkin mengikut keperluan individu.
“PPA yang akan dilaksanakan di Sarawak, Sabah dan Labuan ini merupakan pusat sehenti ataupun ‘one-stop centre’ yang akan menawarkan perkhidmatan holistik merangkumi diagnosis dan saringan awal bagi memastikan intervensi dapat dimulakan seawal mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Perkhidmatan Autisme Zon Sarawak, Sabah dan Labuan, di sini pada Ahad.
Selain saringan dan diagnosis, PPA turut menyediakan program terapi serta pemulihan bersesuaian, latihan kemahiran untuk meningkatkan kemandirian dan kebolehpasaran individu autisme, selain program pendidikan dan kesedaran awam bagi mengurangkan stigma.
Pusat berkenaan juga akan menyediakan kumpulan sokongan ibu bapa bagi membantu keluarga dan penjaga menangani cabaran dalam mengurus keperluan individu autisme.
Bagi Zon Sarawak, tiga PPA akan ditempatkan di Kota Samarahan, Sibu dan Miri, manakala Zon Sabah melibatkan Papar, Alamesra dan Tuaran serta sebuah lagi pusat di Labuan.
Dalam pelaksanaan inisiatif itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kepakaran dalam bidang autisme dan sokongan keluarga, dengan kerajaan turut membantu memperkukuh keupayaan NGO terbabit dalam menyampaikan perkhidmatan.
Di Sarawak, NGO yang dikenal pasti bagi menyokong pelaksanaan PPA ialah Persatuan Autisme Kuching (KAA), Persatuan Autisme Sibu (SAA) serta Persatuan Pemulihan dan Pemerkasaan Insan Istimewa Kuching Samarahan (SUREABLE).
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Mohd Daud Mohd Arif, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Haji Othman, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Wan Norhaidah Wan Mohd Zain, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Semawi Mohamad, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara, Siti Rafidah Tan Sri Adenan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Nordina Haron, Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya, Pathmanathan a/l R Nalasamy serta Setiausaha Politik kepada Menteri, Mohammed Kamaluddin Mohd Effendie.– EDISI UKAS