Tilawah Al-Quran Dalat Bina Pelapis Qari, Qariah Sejak Usia 12 Tahun
DALAT: Usaha melahirkan pelapis qari dan qariah di Daerah Dalat diperkukuh menerusi penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Umur 12 Tahun yang memberi pendedahan awal kepada generasi muda dalam seni bacaan dan taranum Al-Quran.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penganjuran majlis itu bukan sekadar mencari peserta terbaik dalam seni bacaan Al-Quran, malah membina generasi muda yang mencintai serta menghayati ajaran kitab suci berkenaan.
“Usaha seperti ini amat bermakna kerana kita bukan sekadar menganjurkan sebuah pertandingan untuk mencari peserta terbaik dalam seni bacaan Al-Quran, tetapi lebih penting, kita sedang membina asas generasi muda yang mencintai Al-Quran dan menghayati ajarannya.
“Saya berharap agar penganjuran majlis ini dapat diteruskan sebagai satu kebitaraan dan legasi komuniti Kampung Sungai Kut Tengah yang terus berkembang dari tahun ke tahun serta disusuli dengan bimbingan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Umur 12 Tahun Kali Ke-3 Daerah Dalat di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kut Tengah, pada Sabtu.
Menurut Dato Sri Fatimah, penyertaan 16 peserta dalam majlis anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Kut Tengah itu mencerminkan komitmen komuniti menyediakan ruang pembelajaran dan bimbingan agama kepada kanak-kanak sejak usia muda.
Beliau turut berkongsi perkembangan pembangunan infrastruktur dan kebajikan masyarakat setempat, termasuk usaha pembinaan masjid baharu Kampung Sungai Kut serta penyediaan ruang kelas mengaji bagi menyokong pembelajaran agama dan melahirkan pelapis tilawah.
Pada majlis itu, beliau mengumumkan sumbangan kewangan sebanyak RM5,000 bagi membantu menjayakan penganjuran program berkenaan, selain menggalakkan peserta terus berlatih dan memperbaiki mutu bacaan masing-masing.
Bagi kategori qari, Mohd Sharulnaim Hajri muncul johan, diikuti Muhd Afiq Ieman Omarzidi sebagai naib johan dan Mohd Irfan Mohd Johari di tempat ketiga.
Kategori qariah pula dimenangi Nur Qaisara Damia Esmalizma Syukrillah, manakala Mea Maisyara Hermandy meraih naib johan dan Annur Awwal Muqtadir Azwandy menduduki tempat ketiga. -EDISI UKAS