Kevin Lau Teruskan Pendekatan Rumah Ke Rumah Dekati Pengundi Bawang Assan
SIBU: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Bawang Assan, Kevin Lau Kor Jie, memulakan kempen pilihan rayanya dengan meneruskan lawatan dari rumah ke rumah menemui penduduk di Sungai Bidut.
Sepanjang program jangkauan itu, Kevin bersama pasukannya melawat kira-kira 50 buah rumah untuk bersemuka dengan pengundi serta mendengar masalah dan aspirasi mereka.
Menurutnya, pendekatan berkenaan bukan sekadar aktiviti sepanjang tempoh kempen, sebaliknya telah dilaksanakan secara konsisten sejak beberapa tahun lalu sebagai antara usaha mendekati masyarakat di kawasan Bawang Assan.
“Adalah sentiasa penting untuk kami meneruskan lawatan dan kekal berhubung bukan sahaja dengan penduduk, malah keluarga mereka juga.
“Ini adalah cara terbaik untuk kami kekal dekat dengan akar umbi. Jadi, kami berharap sepanjang berkempen, apabila ada kelapangan masa, kami akan teruskan lawatan rumah ke rumah ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Kevin menambah, interaksi secara langsung di lapangan kekal sebagai pendekatan paling berkesan untuk masyarakat mengenalinya serta menanam keyakinan terhadap komitmen beliau dan pasukannya.
“Ini juga untuk mengingatkan diri kami bahawa walaupun selepas meraih kepercayaan mereka, kami akan terus bersama mereka sepanjang lima tahun akan datang,” jelasnya. -EDISI UKAS