‘Future Me’ Buka Ruang Kanak-Kanak Mukah Zahir Cita-Cita, Kreativiti
MUKAH: Tema ‘Future Me’ memberi ruang kepada 115 kanak-kanak di Mukah menzahirkan aspirasi kerjaya dan cita-cita mereka menerusi pendekatan kreatif dalam Sambutan Hari Kanak-Kanak 2026 Peringkat Bahagian Mukah, sekali gus menggalakkan pembentukan keyakinan diri dan potensi sejak usia muda.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah, Dariel Thiong Yiew Seng berkata, tema tersebut dipilih bagi membolehkan kanak-kanak menampilkan kreativiti serta membina keyakinan diri melalui ekspresi cita-cita dan kerjaya yang ingin diceburi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Fun Walk Sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Tahun 2026 yang dirasmikan Residen Bahagian Mukah, Bujang Rahman Seli, di sini pada Ahad.
Menurutnya, pendekatan berkenaan menjadikan sambutan tahun ini lebih menarik dan bermakna, selain memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menampilkan aspirasi mereka dalam suasana yang positif.
Penganjuran sambutan itu turut menjadi ruang untuk memperkukuh perhatian terhadap kebajikan dan perkembangan kanak-kanak, selaras dengan usaha menyediakan peluang kepada mereka untuk terlibat dalam aktiviti positif yang menyokong pembangunan diri.
Penglibatan ibu bapa dalam program berkenaan juga menonjolkan kepentingan sokongan keluarga dalam membentuk persekitaran yang selamat, positif dan kondusif bagi pertumbuhan serta perkembangan kanak-kanak. -EDISI UKAS