Pengurusan Van Jenazah Wakaf Perlu Teratur, Manfaat Kepada Masyarakat Terjamin
LAWAS: Pengurusan kemudahan van jenazah yang diwakafkan kepada Masjid Datuk Pengiran Haji Matusin, Kuala Lawas perlu dilaksanakan secara teratur bagi memastikan kemudahan itu dapat digunakan dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, jawatankuasa masjid perlu memberikan perhatian terhadap aspek pengurusan, termasuk memastikan pemandu yang dilantik memiliki lesen memandu yang bersesuaian dan sah.
“Pengurusan van jenazah ini perlu diberi perhatian, termasuk memastikan pemandu yang dilantik mempunyai lesen memandu yang bersesuaian dan sah untuk mengendalikan van berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Van Jenazah di Masjid Datuk Pengiran Haji Matusin, di sini pada Ahad.
Difahamkan, van jenazah berkenaan merupakan sumbangan wakaf daripada Awang Damit Ali Hasan dan keluarga, Durani Ahmad dan keluarga serta Mohammad Nazmi Aizuddin Awang Tengah dan keluarga bagi membantu urusan pengurusan jenazah penduduk sekitar.
Datuk Amar Awang Tengah berharap kemudahan itu dapat meringankan urusan masyarakat, selain mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak bagi meningkatkan kemudahan masjid dan surau serta kebajikan penduduk.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan perancangan menaik taraf Masjid Kampung Dato sedang memasuki fasa kedua, yang merangkumi penyediaan lebih banyak tempat letak kereta, penambahbaikan ruang jemaah dan pembinaan menara masjid.
“Perancangan tersebut turut melibatkan penambahbaikan jalan masuk utama bagi memudahkan pergerakan penduduk dan jemaah ke masjid,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS