Pendedahan Praktikal Bantu Penduduk Kawasan Bumiko Kuasai Asas Keselamatan Kebakaran
MIRI: Pendedahan praktikal mengenai pencegahan kebakaran dan penggunaan alat pemadam api membantu penduduk di kawasan Bumiko menguasai asas keselamatan bencana terbabit.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, penduduk perlu memahami faktor yang boleh menyebabkan kebakaran, termasuk pendawaian elektrik usang dan litar pintas, selain mengambil kira keadaan kediaman yang dibina berdekatan antara satu sama lain.
“Pengetahuan mengenai keselamatan kebakaran perlu diperluas dalam kalangan masyarakat supaya penduduk lebih memahami cara bertindak ketika berdepan situasi kecemasan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Perkongsian Keselamatan Kebakaran Komuniti Bumiko, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan penduduk memanfaatkan demonstrasi penggunaan alat pemadam api menggunakan kaedah PASS yang dikendalikan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri.
Selain mengetahui cara menggunakan alat pemadam api, beliau menegaskan agar penduduk juga perlu memahami bila tindakan awal boleh dilakukan dan bila mereka perlu mengutamakan keselamatan diri dengan berpindah ke tempat selamat. -EDISI UKAS